Mungkin ada di kalangan readers pernah membaca Kisah Sedih  ini begitu juga dengan Dr Fuh. Walaupun dah baca 2 kali cerita ni, air  mata tetap mengalir jugak. Pilu sangat bila hayati betul-betul.
Cerita ini dipetik dari sebuah buku motivasi bertajuk 'U-Turn ke Jalan  Lurus' oleh Zul Ramli M. Razali. Hayatilah sebagai pengajaran untuk kita  semua.... 
Perjalanan pulang dari showroom dengan memandu kereta baru  memberi satu pengalaman sangat menguja. Bau dalaman dan bungkusan  plastik masih ada., sudah cukup menceritakan bahawa impian  bertahun-tahun untuk memiliki sebuah kereta hebat telah menjadi  kenyataan.
Sesampai di rumah, kereta diparkir di garaj dengan berhati-hati, sudah  tentu sedikit calar akan mengguris kegembiraan yang sedang dinikmati  kini. Isteri, anak termasuk pembantu rumahnya entah berapa kali  berkeliling melihat dari pelbagai sudut dan memuji serta menyebut  hal-hal yang sama berulang kali. Anak kecilnya berumur tiga tahun nampak  lebih teruja dengan tak habis-habis keluar masuk kereta.
Malam itu, sebelum tidur juga duduk-duduk di tempat pemandu dan melihat  lagi keretanya sebelum ke katil. Mungkin tidurnya juga bermimpikan  kereta baru dengan warna merelit.
Hari esok, dia bangun penuh ceria, bergegas menghadap sarapan lalu  mencapai beg bimbit untuk ke pejabat. Kawan-kawan sudah maklum, dan hari  ini: Surprise! Begitu rancangannya.
Tetapi apabila dia menghampiri keretanya ada sesuatu yang sungguh  memeranjatkan. Dia mendapati sekeliling keretanya terdapat calar-calar  dengan goresan yang ketara. Beberapa saat terpinga dia hanya terpaku  berdiri kekejangan. 
Beg bimbit terlepas daripada genggaman kemudian muka terasa panas tersimbah dan kem
arahan membakar dada. Spontan datang dalam mindanya wajah anak kecil  yang memang suka menconteng serata dinding. Baru kelmarin dia belikan  kotak pensil warna dan kertas lukisan bagi mengatasi tabiat menconteng  tersebut.
"Adik, mari sini!" Jeritnya kuat memanggil anaknya, nafasnya  tertahan-tahan dalam membuak api kemarahan."Budak ini kena ajar," getus  hatinya, berani benar anaknya menggores kereta barunya.
Si anak penuh ketakutan seperti seekor burung ciak yang menggigil dibasahi hujan. Tanpa berlengah bersama arus kemarahan yang sukar dibendung si ayah memukul anaknya di serata badan sambil mulutnya tak sudah-sudah menghamburkan  kemarahan. Anak kecil ini hanya meraung dan menangis tetapi dalam hati  rasa bersalah atas apa yang dia telah lakukan.
Kemarahan ayah masih belum reda lantas mengambil pembaris besi nipis dan  dipegangnya tangan anak. Pembaris tersebut diracik-racikkan ke tangan  si anak sambil ayahnya berkata, "Ini ayah nak ajar kamu!"
Ia terus mengherdiknya berulang kali. Kalaulah tidak disabarkan oleh  isterinya mungkin jadi lebih teruk lagi anaknya. Anaknya tersepuk dalam  dakapan pembantu rumah dengan sedu-sedan serta air mata terurai.
"Mana pensel warna yang ayah belikan semalam?" bentak ayah sambil  mencari pensel warna yang baru dibelikan itu. Si ayah merampasnya dan  mencampakkannya ke dalam kereta.
Pagi tersebut sangat murung buat anak, sangat perit buat ayah. Ayah  masuk ke dalam kereta, menghempas pintu, menekan pedal minyak dan  berlalu pergi tanpa menoleh. Ibunya pula hanya punya masa sebentar  kerana terpaksa bergegas untuk urusan jauh ke luar daerah.
Tinggallah anak ini dengan air mata berlinangan, sedu, tangis dan kesakitan.
![]()  | 
| sekadar hiasan | 
Ayah yang masih marah dan tidak dapat memaafkan anaknya terus menghantar  kereta ke bengkel dan dia hanya di luar sepanjang hari. Buat sementara  tertutup hati untuk balik ke rumah.
Lewat petang, telefon bimbitnya berbunyi, dengan malas dia mengangkat kerana dia tahu itu panggilan dari rumahnya.
"Bapak, apa saya perlu buat? Adik asyik menangis dan demamnya kuat  sekali." Adu pembantu rumah di hujung talian dalam butir bicara keliru.
'Biarkan dia, saya nak ajar dia cukup-cukup!" Dengan marah dia terus mematikan telefon bimbitnya.
Malam itu, ayah tidak pulang ke rumah. Namun ketika lewat malam telefon  bimbit berbunyi bertalu-talu daripada nombor yang dia tidak tahu. Dia  mengangkatnya. Amat mengejutkan panggilan tersebut dari sebuah hospital  meminta dia datang dengan segera. Tanpa berlengah, dia terus ke  hospital.
Dia mendapati isterinya turut berada di sana. Pembantu rumah yang  bergegas membawa anak ini ke hospital juga turut bersama dengan wajah  sugul bercampur rasa bersalah. Dia terus meluru masuk berjumpa doktor  bagi mengetahui kondisi anaknya. Alangkah pilunya apabila ia diminta  menandatangani akuan bagi melakukan pembedahan bagi memotong pergelangan  tangan anaknya..
"Seluruh sarafnya telah rosak dan bakteria telah masuk ke dalam sum-sum  tulang, kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa memotongnya untuk  menyelamatkan nyawa anak ini." Jelas doktor dengan gambar x-ray dan  analisis lain penuh di atas meja. Dengan hati yang berat dia menurunkan  tandatangannya.
"Hari malang apakah ini..." tangis hatinya dengan rasa sesal yang tidak dapat dibendung mengenang nasib anaknya.
Si ayah melihat dengan penuh simpati pada wajah comel anaknya yang telah  terbaring setelah melalui pembedahan yang panjang. Dia tidak pasti apa  perasaan sepatutnya ketika itu. Berulang-alik rasa bersalah, kasihankan  si kecil, bodohnya tindakan, menyesal, simpati dan semuanya tidak jelas  tapi satu yang jelas ialah tangan anaknya telah kudung.
Apabila si anak sedar, dia melihat ayah dan ibunya berada di sisi. Dia menangis sambil memohon kemaafan.
"Ayah... Maafkan adik, adik janji tidak akan gores kereta ayah lagi."
"Ayah tolong pulangkan pensel warna adik ... Adik nak melukis," rayu  anak kecil itu dalam esakan meninggi mengemis simpati ayahnya.
Kelu lidah ayahnya, hanya air mata hangat mengalir dan di dalam dada  sarat tergumpal rasa sesal. Dia hanya mampu menatap wajah anaknya yang  masih menangis.
Tapi kemudian apabila anak ini tersedar tentang tangannya yang kudung,  saat itu dia berkata dalam kesayuan, "Ayah, tangan adik dah tak ada,  adik dah tak boleh melukis lagi, kalau adik dah besar nanti macamana nak  jaga ayah..macamana adik nak mandikan ayah. Tangan adik dah tak ada  lagi...Ayah, pulangkan tangan adik."
Tangisan adik terlalu kuat, sangat menyayat hati. Ayah hanya  mampu menangis semahu-mahunya. Apakah yang mampu dia perbetulkan kini?  Dia merangkul anaknya dengan pandangan kosong melihat anak bersama  cita-citanya yang berkecai dan berderai.
Marilah kita meneroka ke dalam hati si ayah dan bertanya terus kepada keyakinannya:
"Bukankah anak ini harta yang paling berharga?"
Ya
"Bukankah anak permata hati?"
Benar.
"Bukankah anak ini ditunggu sejak kelahirannya, digomol penuh manja masa  kecilnya, apabila berjauhan anda merinduinya, dia memanggil ayah dan  menjadikan hidup anda bahagia?"
Benar, benar dan benar.
"Kalau begitu, samakah nilainya dengan warna kereta baru anda?
Tidak sama sekali.
"Jadi, kenapa anda sanggup memusnahkan cita-citanya dengan amarahmu itu?"
Errr.. (tiada jawapan).
Sampai di sini kita sedar ada perselisihan ketara antara keyakinannya  dengan apa yang dia buat. Dia mungkin tidak dapai mencari jawapan  kenapa, tetapi telah mengetahui akibatnya.
Justeru itu bagi kita, sekiranya keyakinan tidak dapat memperkuat amal, tambahkan satu lagi kayakinan bahawa:
Kebinasaan pasti menunggu mereka yang gagal beramal mengikut keyakinannya!
"May our songs be true to what we see on the horizon."

0 Response to "cerita sedih mengalir air mata"
Post a Comment